Isnin Ogos 13, 2012
KAHERAH: Presiden Mesir, Mohammed Morsi pada Ahad
mengarahkan perletakan jawatan menteri pertahanannya dan pada masa yang
sama membatalkan dokumen perlembagaan yang memberi kuasa yang berlebihan
kepada pihak tentera.
Mohammed Morsi secara rasminya 'memecat' Field Marshal Hussein
Tantawi yang sebelum ini memerintah Mesir secara transisi selama setahun
selepas kejatuhan Hosni Mubarak sebelum pilihan raya presiden dan dewan
rakyat berlangsung.
Beliau turut mengumumkan yang kerajaannya membuat keputusan untuk melantik seorang naib presiden.
Beliau telah memilih seorang hakim, Mahmud Mekki sebagai naib
presiden - sekaligus menjadikannya sebagai orang kedua yang dilantik ke
jawatan itu dalam tempoh 30 tahun.
Pengumuman yang mengejutkan itu bakal menguji sejauh manakah Mohammed
Morsi yang merupakan presiden awam yang pertama lebih berkuasa dan
berpengaruh daripada pihak tentera yang selama berabad-abad lamanya
menjadi penentu kuasa yang mutlak di negara itu.
Untuk rekod, Hosni Mubarak juga adalah bekas jeneral tentera udara
sebelum menyandang jawatan naib presiden dan kemudiannya presiden.
Dalam ucapannya di Masjid al-Azhar, Mohammed Morsi mempertahankan
tindakannya itu dan memberikan sebab-sebab mengapa beliau bertindak
meminta Tantawi melepaskan jawatannya.
"Niat saya hanya satu iaitu untuk melihat pihak tentera menjalankan
tugas dan tanggungjawab utama mereka iaitu mempertahankan negara ini,"
katanya.
Kata presiden itu, beliau tidak mempunyai niat untuk mengenepikan peranan dan kuasa pihak tentera.
Tantawi, pemimpin veteran tentera yang berkhidmat sebagai menteri
pertahanan dalam kabinet Hosni Mubarak selama dua dekad hanya
menyerahkan kuasa kepada Mohammed Morsi pada 30 Jun lalu kini diganti
oleh Abdel Fattah al-Sissi.
Turut diminta bersara ialah Ketua Staf Angkatan Tentera, Sami Anan.
Bagaimana pun Tantawi dan Anan terus dikekalkan dalam jawatankuasa penasihat kepada presiden.
Keputusan terbaru ini dibuat seminggu selepas sekumpulan lelaki
bersenjata menyerang dan membunuh 16 pengawal sempadan Mesir di
Semenanjung Sinai.
Pihak tentera dan perisikan telah dipersalahkan ekoran kejadian yang memalukan itu.
Akibatnya, Pengarah Perisikan Mesir, Muraf Muwafi dan Gabenor Sinai Utara, Abdel Wahab Mabruk telah dipecat.
Dan pada masa yang sama, Ketua Polis Tentera, Hamdi Badeen telah
diganti kerana gagal menguruskan kawalan keselamatan di upacara
pengebumian para tentera yang terkorban itu dengan sempurna sebagaimana
yang diarahkan sehingga menjejas keselamatan Perdana Menteri, Hisham
Qandil.
Mohammed Morsi juga telah menarik balik peruntukkan yang memberi
kuasa kepada pihak tentera untuk terlibat sama dalam merancang polisi
awam di negara itu.
Peruntukkan tersebut diwujudkan ketika Mesir di bawah tempoh peralihan selepas kejatuhan Hosni Mubarak.