MELAKA 5 April - Pas yang belum pernah memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen di Melaka sejak sebelum merdeka termasuk ketika tsunami politik pada 2008, mengumumkan akan bertanding di 13 kerusi DUN di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.
Ketua Penerangan Pas Parlimen Bukit Katil, Yusof Wahab ketika mengumumkan perkara itu dalam ceramah di Lorong Pulau Pangkor Laut, Kampung Bukit Pulau, Bukit Baru di sini malam tadi berkata, rakan sekutu mereka DAP pula bertanding di lapan kerusi DUN manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula di tujuh kerusi DUN termasuk satu di Parlimen Bukit Katil.
Dalam pada itu beliau turut mengumumkan bekas Timbalan Pengarah Hospital Melaka, Dr. Khalid Kassim sebagai calon baharu yang akan bertanding di DUN Bukit Baru.
Pada pilihan raya umum yang lalu, DUN Bukit Baru dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang juga Ketua Menteri yang menewaskan calon Pas, Bakrin Sidek dengan majoriti 2,708 undi.