Selepas kira-kira 10 minit sidang media dan sesi menandatangani piagam Majlis NGO Antara Kaum Malaysia (MIRAC), berlaku sedikit "salah faham" antara Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA) bersama NGO kaum India gabungan tersebut, Persatuan Amal dan Kebajikan India Baru (Perinbam).

"Salah faham" itu terjadi berikutan rasa tidak puas hati ahli Perinbam berhubung kenyataan Naib Presiden PERKASA, Datuk Zulkifli Noordin dalam sidang media sebelum itu yang menyatakan sokongan untuk membela dan mempertahankan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Mohamad Nasir Mohd Nor.

Beberapa orang ahli Perinbam kelihatan tidak berpuas hati dengan kenyataan Zulkifli dan meminta beliau menjelaskan apa yang dikatakannya dalam sidang media yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Zulkifli bagaimanapun dilihat mempertahankan pendiriannya itu dan terus meninggalkan majlis berbuka puasa anjuran PERKASA yang diadakan selepas sidang media.

Ahli Perinbam yang tidak berpuas hati juga turut meninggalkan majlis itu selepas itu.

Kemudian, Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali pula memujuk Presiden Perinbam U Thamotharan untuk terus berada di majlis tersebut.

Selepas dipujuk, ahli Perinbam kemudiannya memasuki semula ke dalam Kelab Sultan Sulaiman.
Sementara itu, Bernama melaporkan Zulkiflli hari ini mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang mempolitikkan isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sebuah sekolah di Sungai Buloh.
   
Katanya, sesetengah pihak mengambil kesempatan memfitnah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Mohamad Nasir Mohd Nor, dengan mendakwanya bersikap rasis kerana menempatkan murid bukan Islam makan di dalam tandas.
   
"Yang jelas perkara ini telah diputar belit dan disulami dengan pembohongan, sedangkan faktanya sekolah itu mempunyai kantin yang kecil dan hanya memuat 600 pelajar.
   
"Keputusan (menggunakan bilik persalinan) itu dibuat hasil perbincangan bersama guru dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), dan guru besar sekadar melaksanakan keputusan itu," katanya ketika mengulas isu itu.
   
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas penubuhan Majlis Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antara Kaum Malaysia (Mirac) di ibunegara.

Zulkifli turut menyatakan sokongan Perkasa untuk membela dan mempertahankan Mohamad Nasir.
   
Sementara itu Pengerusi Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda MIC P. Punithan turut memohon semua pihak supaya untuk tidak menjadikan perkara berkenaan sebagai isu perkauman.
   
Perkara itu tidak harus dipolitikkan dan dipolemikkan kerana mampu menggugat perpaduan kaum yang sedia terjalin, katanya dalam kenyataan hari ini.