Pihak berkuasa Mesir mengarahkan Mohammed Mursi, presiden yang digulingkan tentera, dipenjara 15 hari ekoran siasatan lanjut berhubung tuduhan bersubahat dengan pergerakan Islamis Palestin, Hamas, lapor akhbar milik negara al-Ahram online

Arahan itu dibuat oleh hakim siasatan yang mendakwa Mursi bersubahat dengan Hamas atas "aksi permusuhan" dalam negara semasa puncak pemberontakan terhadap pendahulunya Hosny Mubarak pada 2011, menurut laporan itu.

Dakwaan itu, termasuk serangan terhadap bangunan keselamatan, memecah penjara, pembunuhan terancang anggota polis dan penculikan.

Hakim mempersoalkan Mursi dan mengemukakan bukti padanya, laporal-Ahram, seperti dipetik dpa.

2,000 demo sokong Mursi di KL

Sementara itu, di Kuala Lumpur, dilaporkan lebih 2,000 umat Islam turut berkumpul bagi menyatakan bantahan terhadap rampasan kuasa tentera di Mesir dan menegaskan Mursi sebagai presiden yang dipilih secara sah.

Mereka berarak sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Tabung Haji ke Kedutaan Mesir di Jalan Ru, Ampang Hilir lebih 4 kilometer, laporHarakahdaily.

Perhimpunan yang diketuai Pemuda PAS itu turut disertai aktivis NGO Islam seperti, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Peserta perarakan dihalang masuk ke jalan berhadapan bangunan kedutaan sebaliknya diberhentikan di jalan bersebelahan kira-kira 150 meter dari pintu masuk bangunan kedutaan.

Enam wakil dibenarkan masuk menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan, yang antaranya menuntut pembebasan Mursi dan membatalkan undang-undang yang digubal selepas kudeta tentera.

'PM diam, takut penentang Mursi?'
Isu melibatkan pemimpin Ikhwanul Muslimin itu sentiasa dekat di hati kebanyakan umat Islam di Malaysia. Ini kerana Ikhwan selama ini menjadi ilham kepada pergerakan lain di seluruh dunia.

Malah, pemimpin-pemimpin kumpulan Islam di negara ini juga mempunyai hubungan langsung dengan pemimpin Ikhwan.

Sementara itu, berucap kepada peserta himpunan, Setiausaha Pemuda PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil mempersoalkan sikap kerajaan Malaysia dan Perdan Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa masih membisu dalam isu itu.

"Kenapa beliau tidak mahu menyatakan pendirian dalam isu ini?

"Adakah Najib takut untuk tunjuk sikap kerajaan Malaysia dalam isu ini, takut kepada penentang Mursi?" Khairul dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily.