Tanggapan bahawa seorang Muslim akan menjadi Kristian jika terkena 'holy water' (air suci penganut Kristian) atau menjejakkan kaki ke dalam gereja adalah karut, kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa.

"Tidak wujud langsung pergi ke gereja tiba-tiba jadi Kristian. Ini adalah karut.

"Ada yang kata kalau orang Kristian bagi 'holy water' - sekali minum, 'habis'.

"Kita mungkin ketawa, tetapi cuba fikir kembali berapa ramai di luar sana mempercayainya?" katanya dalam satu forum di ibu negara semalam.

Beliau bercakap kepada kira-kira 150 orang yang terdiri daripada penganut pelbagai agama di forum "Polemik 'Allah' dan rampasan Bible: Antara undang-undang dan sensitiviti agama, anjuran Dewan Pemuda PAS Lembah Pantai.