Pages

Thursday, May 18, 2017

'Bukan mati tapi gugur

POKOK benang sutera (Ceiba Speciosa) yang ditanam sebagai mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus, mati selepas kira-kira lima bulan dipercayai akibat faktor cuaca. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Pokok benang sutera atau nama saintifiknya `ceiba speciosa' yang ditanam di bandar baharu Kuala Nerus hanya mengalami proses keguguran daun berikutan pemindahan kawasan tanaman. 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pokok dianggar bernilai RM180,000 yang disumbangkan kontraktor utama projek pembangunan Bandar Kuala Nerus itu dalam proses penyesuaian tanah, menyebabkan berlakunya keguguran daun. 

"Berdasarkan laporan kontraktor, daun memang biasa gugur hingga pokok kelihatan seolah-olah mati dalam tempoh beberapa bulan selepas ditanam berikutan perubahan tempat dan cuaca," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran hari Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) peringkat kebangsaan di Terengganu Trade Centre (TTC), hari ini. Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri berdepan kerugian jika benar pokok itu mati kerana ia adalah sumbangan kontraktor. 

Semalam, pokok benang sutera bernilai RM180,000 yang ditanam sejak lima bulan lalu sebagai mercu tanda Bandar Kuala Nerus di sini, dilaporkan mati kerana faktor cuaca, tanah dan baja. 

Laporan itu memetik Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau, Rosli Othman, yang dilaporkan berkata, pokok dibawa masuk dari Brazil itu mungkin mati kerana faktor cuaca di negara ini, selain tanah dan baja tidak sesuai hingga menjejaskan kesuburan pokok. 

Bagaimanapun, Rosli ketika dihubungi hari ini berkata, maklumat terbaru diterima daripada nurseri yang menanam pokok berkenaan mengesahkan ia tidak mati, sebaliknya mengalami proses keguguran daun. 

"Sebenarnya ia tidak mati, cuma fizikalnya kelihatan seperti pokok yang mati," katanya. Beliau turut memohon maaf atas kekeliruan yang timbul susulan kenyataan sebelum ini dan berharap penjelasan itu menjernihkan suasana.
=====================================


SASARAN KELATEDAILY 2017 
- RADIO ONLINE, TVONLINE, 
BANTUAN KEPADA YG MENERIMA, 
PENGURUSAN KELATEDAILY 
- SUMBANGAN DIPERLUKAN - 
BOLEH DISALURKAN MENGUNAKAN 
AKAUN PAYPAL - kelatedaily@gmail.com - 
Akaun Admin - Maybank - 112080586371 (Mahadi)