Setiausaha Sulit kepada baginda, Datuk Mohamad Munir Bani berkata ketetapan itu dibuat selepas baginda menimbang dan meneliti segala aspek terutama dari sudut kestabilan pentadbiran kerajaan negeri Selangor demi memelihara kepentingan rakyat secara keseluruhannya.
"Sultan Selangor juga berkenan agar kedudukan anggota-anggota Exco sedia ada dikekalkan demi kepentingan rakyat dan usaha pembangunan negeri Selangor terus dilaksanakan.
"Baginda juga telah mengambil kira mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada kerajaan negeri sedia ada untuk terus mentadbir bagi menjamin keharmonian dan pembangunan agar kemakmuran rakyat di Selangor ini tercapai," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kerajaan Selangor yang dipimpin Mohamed Azmin mempunyai komposisi Exco yang sama bilangan iaitu masing-masing tiga orang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.
Tiga exco Pas ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar; Datuk Dr Ahmad Yunus (Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi) serta Zaidy Abdul Talib (Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).
Mohamad Munir berkata menteri besar terdahulu telah menghadap dan menyembah maklum kepada baginda mengenai kedudukan semasa barisan kepimpinan anggota MMKN susulan keputusan Pas Pusat memutuskan kerjasama politik parti itu dengan PKR.
Berikutan itu, beliau berkata, Sultan Sharafuddin juga telah menerima menghadap Pesuruhjaya Pas Selangor Sallehen Mukhyi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sabak bersama tiga anggota Exco daripada Pas berkenaan untuk mengetahui tentang pendirian dan kedudukan mereka dalam MMKN.
"Sultan Selangor yakin bahawa kepercayaan yang diperoleh Mohamed Azmin ketika dilantik sebagai menteri besar pada September 2014 masih kekal," katanya.
Mohamad Munir dalam pada itu berkata, baginda menyeru kepada semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi negatif mengenai kestabilan kerajaan negeri Selangor.
Katanya, Sultan Sharafuddin juga berharap menjelang bulan Ramadan ini, rakyat khasnya yang beragama Islam di Selangor menumpukan persiapan diri mereka untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan dalam beribadat serta mengelakkan daripada terlibat dengan sebarang fitnah serta tohmahan.
Semalam, Mohamed Azmin dilaporkan berkata tiga anggota Exco daripada Pas itu dikekalkan demi kestabilan kerajaan negeri menjelang PRU ke-14, meskipun parti Islam itu telah menamatkan kerjasama politik dengan PKR.
Majlis Syura Ulama Pas pada 11 Mei lepas memutuskan parti itu menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR, yang menerajui kerajaan Selangor, selepas Muktamar Pas ke-63 di Alor Setar, Kedah bulan lepas meluluskan usul supaya pimpinan tertinggi parti menamatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti apabila PKR dilihat tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka. -- BERNAMA