Apakah pihak berkuasa kita tidak dapat menyaingi DoJ? - KelateDaily - SuratKoba Pilihe Kito

Latest

Saturday, June 17, 2017

Apakah pihak berkuasa kita tidak dapat menyaingi DoJ?

SEKALI lagi, maruah pimpinan negara terutamanya BN dan pihak berkuasa Malaysia yang menyiasat isu 1MDB ditampar oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) di hadapan seluruh dunia.
 
Sampai bilakah nama Malaysia perlu dimalukan sebegitu rupa kerana 1MDB? 1MDB telah menjejaskan nama baik negara.
 
Persoalan lebih utama ialah apakah pihak berkuasa Malaysia sebegitu lemah dan tidak menyaingi DoJ?
 
Mengapa DoJ dapat menyiasat dan membongkar pengaliran tunai 1MDB dengan sebegitu teliti manakala siasatan 1MDB di dalam negara pula tidak menampakkan apa-apa hasil?
 
Sehingga kini, siasatan polis terhadap 1MDB masih tidak siap-siap. Siasatan yang dilakukan Ketua Audit Negara yang diserta bersama kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pula diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
 
Peguam Negara kita pula bertindak seolah-olah beliau ialah peguambela individu dan bukannya negara. SPRM pula masih berdiam diri di dalam isu 1MDB. Dan Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim pula telah menutup kes terhadap 1MDB.
 
PAS percaya sebenarnya pasukan penyiasatan Malaysia jauh lebih berkemampuan daripada DoJ.
 
Pasukan polis negara umpamanya yang kerjanya sebegitu cemerlang dalam mengesan aktiviti kehadiran para pengganas sudah tentunya mampu mengendalikan kes 1MDB.
 
SPRM yang begitu rancak mengesan kegiatan rasuah antara penjawat awam walau kecil jumlahnya sudah pasti dapat membongkar segala yang berlaku di dalam 1MDB. Begitu juga dengan kemampuan Ketua Audit Negara dan Gabenor Bank Negara yang sudah diperakui ramai.
 
Keempat-empat pasukan ini semestinya lebih mampu daripada DoJ, tapi malangnya mereka kini terpaksa mengharungi penghinaan demi penghinaan oleh DoJ kerana mereka sedang berhadapan halangan-halangan yang tidak boleh disebut.
 
PAS berdoa agar pihak berkuasa tempatan diberikan keberanian untuk membongkar isu 1MDB. Cukuplah hidup dalam keadaan tangan dan kaki digari dan mata sekadar dapat terbeliak membiarkan kemungkaran yang besar berlalu manakala telinga terpaksa mendengar arahan untuk mengendalikan kemungkaran yang kecil.
 
Kita perlu lebih cekap dan berupaya bertindak sendiri untuk mengelakkan sebarang campurtangan Amerika. Tapi apabila kita sendiri melengah-lengahkan siasatan, maka ruang campurtangan itu terbuka luas.
 
Walaupun kes DoJ masih di peringkat tuduhan, nasibnya kini bergantung pada kesetiaan Jho Low. Jika DoJ menawarkan satu jalan keluar untuk Jho Low dengan syarat beliau membongkar siapa di belakangnya, kemungkinan besar Jho Low akan mengambilnya dan ketika itu, segalanya akan terungkai.
 
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
17 Jun 2017 - HARAKAHDAILY 17/6/2017
=====================================


SASARAN KELATEDAILY 2017 
- RADIO ONLINE, TVONLINE, 
BANTUAN KEPADA YG MENERIMA, 
PENGURUSAN KELATEDAILY 
- SUMBANGAN DIPERLUKAN - 
BOLEH DISALURKAN MENGUNAKAN 
AKAUN PAYPAL - kelatedaily@gmail.com - 
Akaun Admin - Maybank - 112080586371 (Mahadi)