Pages

Thursday, June 22, 2017

Strategi PAS Hadapi PRU 14 Ini. -Abd Hadi.

ALOR SETAR (29 Jan 2017): PAS perlu mempunyai kedudukan yang kukuh dan kuat melalui strategi mempertahankan Kelantan, memerintah semula Terengganu dan Kedah, memimpin Selangor, serta mendapat sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, walaupun sukar untuk mendapat majoriti 112 kerusi dan memerintah sendiri, tetapi PAS mempunyai tanggungjawab mempertahankan Islam dan memastikan Islam memerintah.

Menurutnya, kejayaan strategi itu akan menyebabkan Umno tidak lagi sombong seperti dahulu dan membolehkan berlakunya perubahan politik dalam negara.

"Kita kena faham ini semua. Jangan kita mara ke hadapan dengan tidak tengok sedikit ke belakang, di mana kekurangan dan kelemahan, tidak membuat muhasabah. Kita maju ke hadapan dalam keadaan kita tak tengok lopak-lopak dan liku yang bahaya," ujarnya pada Majlis Taklimat Khas Presiden dan Dana Sumbangan Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, di sini semalam.

Kata beliau, tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR hampir berjaya menjatuhkan Umno dan BN dengan mencapai peratus tinggi undi popular iaitu 89 kerusi pembangkang dan 132 kerusi kerajaan.

Tetapi jelas Tuan Guru, wujud keadaan tidak seimbang pada kedudukan politik dan jumlah kerusi Islam menyebabkan PAS melakukan muraja'ah semula terhadap tahaluf siyasi.

"Sedarkah saudara-saudari bagaimana kedudukan kerusi itu? Tak sedar 89 kerusi pembangkang itu PAS 21 kerusi, PKR 30 kerusi, DAP 38 kerusi. Kekuatan jentera PAS 25 peratus, parti lain bahagi-bahagi, (tapi) kerusi PAS begitu kedudukannya.

"Orang kita menang sorak, ekor berlumur taik. Sedar ke tidak? Ini kena faham. Dari 89 kerusi pembangkang, 39 adalah Islam dan 50 bukan Islam. Ada cadangan buat undi tidak percaya nak ubah kerajaan," cerita beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Menurutnya, dengan mengambil 30 lagi kerusi bukan Islam dari BN, maka kerajaan boleh dijatuhkan, sekali gus terbentuk kerajaan baharu yang berkedudukan Islam 39 kerusi dan bukan Islam 80 kerusi.

Terang beliau, PAS bukan bermaksud bersikap perkauman, tetapi peraturan siyasah syar'iyyah menetapkan pemilihan pemimpin tidak sekadar memiliki ilmu dan akhlak, termasuklah juga pengaruh di kalangan rakyat.

Hal tersebut dipetik Tuan Guru berdasarkan hadis "Pemimpin daripada Quraisy" yang merujuk kepada pihak paling besar dalam kalangan umat manusia.

Kerana itu ujar beliau, perlu disedari bahawa politik Malaysia telah berlaku perubahan di mana orang Islam sudah berjumlah 65 peratus dengan pertambahan baru dan 25 peratus Cina, manakala baki ialah India serta lain-lain kaum.

"Adakah wajar bagi negara (ini), kerajaan diperintah oleh orang Islam 39 kerusi, bukan Islam kerusi yang besar? Ini tidak tepat, asas bangunan dengan apa yang kita nak letak di atasnya.

"Kalau orang main bola, bila dia rapat ke gol lawan tak boleh masuk gol, dia undur balik. Kena susun strategi, masuk balik. Ini kena faham," lontarnya menjentik fikiran.

Tambah beliau, mereka yang tidak faham itulah menubuhkan PAN, manakala Tun Dr Mahathir Mohamad hanya hendak mempertahankan kedudukannya semata-mata, tanpa mempedulikan Islam.

Kata Tuan Guru lagi, Allah SWT telah menunjukkan hakikat sebenar kesetiaan rakan dalam Pakatan Rakyat yang membantah PAS melaksanakan Islam walaupun telah bersefahaman untuk tidak menyentuh dasar parti masing-masing.

Apatah lagi jelasnya, pindaan Perlembagaan Malaysia bagi membolehkan syariat Islam dilaksanakan memerlukan dua pertiga majoriti sokongan sedangkan jumlah Ahli Parlimen Islam tidak mencukupi.

Keadaan itu terang beliau, berpunca daripada tindakan Tun Mahathir yang mewujudkan kawasan Parlimen campuran antara Islam dan bukan Islam dengan nisbah tertentu. 

Selain turut diletakkan jumlah pengundi mencecah 100,000 dalam satu parlimen di Kedah, Terengganu, Kelantan dan utara Perak, berbanding sekitar 20,000 di Johor dan negeri lainnya.

Menurut Tuan Guru, usaha tersebut bertujuan menyingkirkan PAS dan memenangkan Umno selamanya di mana kini bekas Perdana Menteri itu melihat kesan perbuatannya sebagaimana tujuan doa Almarhum Ustaz Datuk Fadzil Mohd Noor agar Tun dipanjangkan umur. -HARAKAHDAILY 29/1/2017
=====================================


SASARAN KELATEDAILY 2017 
- RADIO ONLINE, TVONLINE, 
BANTUAN KEPADA YG MENERIMA, 
PENGURUSAN KELATEDAILY 
- SUMBANGAN DIPERLUKAN - 
BOLEH DISALURKAN MENGUNAKAN 
AKAUN PAYPAL - kelatedaily@gmail.com - 
Akaun Admin - Maybank - 112080586371 (Mahadi)