Saturday, April 10, 2021

Kelantan FC kecewakan Kuching City FC

SUMBER https://kelantanupdates.com/


Jaringan tunggal Natanael penghujung babak pertama hadiah tiga mata buat skuad Marco Ragini

Kelantan FC terus mengekalkan momentum cemerlang meskipun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Kuching City FC pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, petang tadi.

Jaringan tunggal Natanael Siringo Ringo pada penghujung babak pertama menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan dalam pertemuan itu.

Kemenangan tersebut menyaksikan kelab kendalian Marco Ragini kini mengumpul 13 mata untuk kekal di tangga keempat dan  mengekori rapat tiga pasukan teratas.

Natanael Siringo Ringo (tengah) merai jaringan tunggal kemenangan bersama rakan sepasukannya.

Tuan rumah yang turun tanpa Jack Hindle akibat penggantungan permainan tampak sukar untuk menembusi benteng pertahanan lawan yang dikawal kemas, Aylton Ferreira.

Jelas ketiadaan penyerang import dari England itu amat dirasai apabila jentera penggempur mereka dilihat kekurangan idea untuk merencana gerakan berbahaya.

Sebaliknya, pelawat yang dibimbing jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim memperoleh peluang terbaik pada minit ke-28 tetapi percubaan Mohamad Alif Hassan dari luar kotak penalti tersasar di gawang.

Ketika aksi seakan berkesudahan seri tanpa jaringan, Natanael tampil menceriakan kem pasukannya dalam masa tambahan babak pertama.

Pemain import dari Indonesia itu menghukum kealpaan benteng pertahanan dengan menanduk masuk bola hantaran Dzulfahmi Abdul Hadi di sebelah kiri gawang untuk memastikan kedudukan 1-0 buat pasukannya.

Aksi babak kedua memperlihatkan Kuching City FC lebih banyak menguasai permainan namun mujur peluang mereka diselamatkan penjaga gawang tuan rumah, Nik Mohd Amin Ahmad, minit ke-53.

Pertahanan Kelantan FC, Christos Intzidis (kanan) bersaing dengan penyerang Kuching City FC, Bryan Anicezio dalam pertemuan petang tadi.

Pelawat yang bersemangat mencari gol penyamaan terus memberi tekanan ke atas Kelantan FC memaksa benteng pertahanan diterajui Christoz Intzidis bekerja keras sepanjang babak kedua.

Malah Nik Mohd Amin turut sibuk di kubu terakhir pasukannya menyelamatkan percubaan berbahaya pelawat.

Penjaga gol Kelantan FC wajar diberi kredit apabila menafikan dua peluang terbaik dimiliki Kuching City FC untuk mengecewakan tuan rumah, minit ke-84 dan 89.

Meskipun separuh masa kedua diberi tambahan masa lima minit, kelab yang sinonim dengan gelaran The Cats itu masih gagal mendapatkan jaringan dan keputusan 1-0 kekal memihak Kelantan FC.

FOTO : TRW Kelantan FC




KelateDaily - Sejak 2004 Lagi
=====================================
Bayaran Kepada Penulis Jemputan,
Sumbangan Kepada Yang Memerlukan,
Pengurusan

Sumbangan ikhlas untuk dakwah KelateDaily:
Trasfer Ke Bank : QM Rich
08086010034971 (Bank Islam)
AKAUN PAYPAL - kelatedaily@gmail.com