Meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu Liga Premier, Negeri Sembilan FC di Paroi
Kelantan United FC mencipta kejutan sensasi apabila meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu Liga Premier, Negeri Sembilan FC, malam tadi.
Pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, skuad The Green Deer membuktikan segalanya tiada yang mustahil apabila berjaya meraih kemenangan 3-2 sekali gus meranapkan rekod tidak pernah tewas tuan rumah dalam enam perlawanan terdahulu.
Malah lebih menarik, ia kemenangan pertama dicatatkan Kelantan United FC di luar Kota Bharu dan hadir tepat pada masanya ketika kelab itu berdepan prestasi tidak menentu setelah tewas dua kali berturut-turut sebelum ini.

Begitupun, kelab bimbingan Akira Higashiyama terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan pantas kapten Negeri Sembilan FC, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak ketika permainan baharu mencecah 38 saat.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Gassama Alfusainey berjaya memadamkan defisit jaringan itu dengan menyudahkan hantaran cantik Masashi Motoyama, pada minit ke-21.

Keputusan seri 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama berakhir.
Tujuh minit selepas babak berikutnya bersambung, giliran pelawat pula mendahului skuad kendalian K Devan dengan Gassama tampil meledak gol kedua peribadinya.

Tuan rumah bagaimana enggan mengaku kalah sebaliknya bangkit mengikat kedudukan 2-2 hasil sentuhan penyerang import prolifik dari Cameroon, Alain Akono Akono, pada minit ke-60.
Aksi kembali rancak selepas itu dan pemain pelawat, Mohd Hariz Kamaruddin muncul selaku wira apabila meledak gol kemenangan Kelantan United FC, lima minit kemudian.
FOTO : Kelantan United FC
KelateDaily - Sejak 2004 Lagi
Sumbangan Kepada Yang Memerlukan,
Pengurusan