Pages

Sunday, February 1, 2009

Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) nak cabar

[DIKEMAS KINI, 10.30 MALAM] PETALING JAYA: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang didakwa "hilang" dan "tidak dapat dihubungi" sejak lima hari lalu, meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat berkuat kuasa hari ini.
Kedua-dua ADUN berkenaan ialah Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering).

Bagaimanapun Jamaluddin ketika dihubungi sebentar tadi menafikan ada menghantar surat meletak jawatan hari ini.
Sehubungan itu beliau mahu mencabar kesahihan makluman bahawa telah melepaskan kerusi DUN.

Kata beliau, surat yang kandungannya dimaklumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri petang ini merupakan surat yang ditandatangani Mac lalu.
mStar Online difahamkan ada wakil rakyat yang menandatangani surat letak jawatan sebagai ADUN, yang tidak bertarikh.

Perkembangan terbaru itu diketahui kira-kira enam jam selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengatakan ada kemungkinan mereka akan sertai BN manakala Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pula mencabar kedua-dua ADUN berkenaa keluar dan mengisytiharkan jika benar telah memasuki BN. Perkembangan petang ini membuka laluan kepada pilihan raya kecil - pilihan raya kecil peringkat negeri yang pertama sejak pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Dua pilihan raya kecil kerusi Parlimen telah diadakan di Permatang Pauh, Pulau Pinang Ogos lalu dan Kuala Terengganu, Terengganu bulan lalu.

Dengan keputusan meletakkan jawatan itu, Jamaluddin dan Mohd. Osman tidak boleh bertanding semula dalam pilihan raya untuk tempoh lima tahun akan datang.

Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, pula pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Sebelum ini kedua-dua mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen pada 10 Februari ini.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Jamaluddin menerima 6,771 undi untuk menewaskan calon BN, Datuk M. Ramasamy yang mendapat 5,744 undi.

Mohd. Osman pula menang dengan majoriti 1,102 undi bagi merampas kerusi DUN Changkat Jering. Beliau memperoleh 9,411 mengalahkan penyandang dari BN yang juga Yang Dipertua DUN Perak sebelum itu, Datuk Mat Isa Ismail yang mengumpul 8,309 undi.